Rabu, 18 Mac 2009

Selam Skuba Fahami Risikonya





SATU-satunya kebuk oksigen yang terdapat di Institut Perubatan Bawah Air dan Hiperbarik (IPBAH) di Lumut, Perak yang digunakan untuk merawat penyelam.



SEJAK berabad lamanya, keajaiban dasar laut sering kali menggamit manusia untuk menerokai misteri keindahan dan keunikannya.

Atas sebab itulah, pelbagai cara dan teknik menahan nafas ketika menyelam dilakukan bagi membolehkan penyelam mendapatkan apa saja yang `diingini' dari dasar laut.

Bagaimanapun, penyelam pada zaman dahulu hanya dapat menyelam pada jangka masa dan kedalaman yang cukup terhad.

Setelah terciptanya pam yang dapat memberi udara mampat pada tekanan tinggi, impian untuk menyelam lebih lama dan dalam akhirnya menjadi kenyataan.

Sebelum ini, tugas penyelam lebih tertumpu kepada mencari harta daripada kapal-kapal karam, khususnya dalam bidang ketenteraan.

Tetapi, sejak pertengahan tahun 1970-an, penggunaan alat skuba (self-contained underwater breathing apparatus), aktiviti menyelam menjadi salah satu aktiviti riadah yang cukup menarik.

Dengan adanya peralatan moden ini, penyelam kini bebas menjelajah ke dasar laut untuk membongkar rahsia, mitos dan legendanya.

Namun, sekalipun peralatan moden membolehkan manusia menerokai dasar laut, fisiologi dan struktur tubuh manusia tidak dicipta untuk tekanan tinggi pada jangka masa yang panjang.

Ini kerana, ia boleh mendatangkan risiko pada kesihatan. ``Sekalipun, ia merupakan aktiviti riadah yang menarik, tetapi ia mempunyai risiko tersendiri.

``Tetapi, risiko ini boleh dikurangkan dengan latihan dan prosedur menyelam yang betul,''

Bagi mengelakkan sebarang kemungkinan, setiap penyelam perlu menjalani latihan dan mengetahui teknik selaman yang betul.

Ini kerana, penyakit-penyakit yang dialami oleh penyelam agak unik dan memerlukan rawatan khusus.

oleh kerana aktiviti menyelam dilakukan di kawasan yang tiada kemudahan perubatan serta komunikasi yang terhad, penyelam biasanya lewat mendapat rawatan.

Antara risiko akibat aktiviti menyelam ialah:

* Penyakit nyah tekanan (DCS)

Penyakit yang juga dikenali sebagai dekompresi (decompression sickness) ini merupakan sejenis gangguan fisiologi yang disebabkan oleh penurunan tekanan atmosfera yang terlalu cepat.

Perlu diketahui, tekanan di dasar laut jauh lebih tinggi berbanding di permukaan. Biasanya, penyelam akan bernafas dengan udara mampat yang mengandungi 79 peratus nitrogen dan 21 oksigen.

Sehubungan itu, tekanan tinggi ini menyebabkan gas nitrogen larut dalam tisu tubuh dan darah penyelam. Lebih lama dan lebih dalam selaman seseorang, lebih banyak gas nitrogen yang larut.

Ketika penyelam naik ke permukaan laut, gas nitrogen yang larut ini biasanya meresap keluar melalui paru-paru.

Bagaimanapun, jika penyelam naik ke permukaan dengan kadar yang terlalu cepat, penghasilan buih gas nitrogen semakin bertambah dalam tisu dan darah.

Buih-buih nitrogen dalam tisu dan darah ini akan menghalang bekalan oksigen dihantar ke seluruh tubuh.

Sekali gus, ia menyebabkan kerosakan pelbagai tisu tubuh termasuklah saraf tunjang, salur darah, sakit sendi dan abdomen.

Ia boleh mengakibatkan penyelam mengalami kelumpuhan, pengsan, kebas, sawan dan sakit sendi.

Bagi kes-kes yang serius, DCS boleh menyebabkan kematian. Risiko untuk menghidap DCS meningkat sekiranya seseorang penyelam menyelam melebihi had masa dan kedalaman menyelam, selaman berulang serta mengikuti penerbangan.

Keadaan yang juga dikenali sebagai bends atau altitude sickness ini bukan saja menjejaskan penyelam, malah juruterbang dan mereka yang bekerja di persekitaran udara mampat.

Penyelam perlu dirawat di dalam kebuk tekanan tinggi atau kebuk hiperbarik. Penyelam akan dimasukkan ke dalam alat ini dengan tekanan tiga kali ganda daripada tekanan atmosfera sambil penyelam bernafas dengan 100 peratus oksigen. Tekanan ini akan mengecutkan buih dalam tisu dan salur darah penyelam.

* Tekanan trauma

Tubuh manusia mempunyai banyak ruang udara seperti paru-paru, telinga tengah, rongga sinus dan usus.

Apabila penyelam turun ke dasar laut, tekanan yang meningkat mengakibatkan ruang-ruang udara ini mengecut. Sebaliknya, jika penyelam naik ke permukaan ruang-ruang udara ini akan mengembang.

Kadangkala proses ini boleh mencederakan tisu-tisu tersebut. Sehubungan itu, penyelam yang terlatih akan berhati-hati dengan tidak menahan nafas ketika naik ke permukaan. Jika tidak, paru-paru akan mengembang berlebihan dan pecah.

Keadaan yang dikenali sebagai tekanan trauma atau barotrauma paru-paru ini menyebabkan perubahan pada saiz ruang udara paru-paru. Ia boleh mengakibatkan kecederaan.

Selain kecederaan, paru-paru yang pecah ini juga sering kali mengakibatkan udara keluar daripada paru-paru dan masuk ke salur darah berhampiran.

Udara dalam saluran darah ini akan masuk ke jantung, otak atau ke seluruh tubuh. Gas yang tersebar ini boleh menyekat aliran darah ke otak yang akhirnya individu terbabit pengsan, lumpuh, sawan dan kematian.

Udara daripada paru-paru yang pecah ini boleh memasuki ruang antara paru-paru dan dinding dada (pleura). Kesannya, pesakit akan mengalami sesak nafas, kebiruan dan pengsan kerana kegagalan paru-paru berfungsi.

Udara ini juga yang masuk ke ruang sekeliling jantung mengganggu fungsi organ tersebut. Mereka yang menghidap asma, bronkitis dan pernah menghidap penyakit batuk kering (TB) berisiko mengalami keadaan ini.

Masalah ini tidak hanya terhad kepada penyelam pada selaman yang dalam. Malah, ia boleh berlaku kepada penyelam yang menyelam dengan kedalaman cetek seperti satu meter sekiranya penyelam menahan nafas ketika naik ke permukaan.

* Keracunan gas

Penyelam yang bernafas pada kedalaman lebih 40 meter berisiko mengalami keracunan gas atau dikenali sebagai nitrogen narcosis.

Keracunan ini berlaku kerana nitrogen yang wujud dalam udara larut dalam saraf apabila tekanan meningkat.

Kesannya, penyelam akan khayal, kurang tumpuan, hilang pertimbangan dan mengalami gangguan koordinasi.

Walaupun keadaan ini akan pulih serta-merta jika penyelam naik ke permukaan, namun ia sering kali membahayakan keselamatan penyelam.

Penggunaan oksigen pada tekanan tinggi boleh menyebabkan keracunan. Pada kedalaman secetek enam meter, penyelam yang bernafas dengan menggunakan 100 peratus oksigen boleh mengalami sawan dan lemas.

Teknik selam menggunakan 100 peratus oksigen hanya digunakan oleh penyelam tentera.

Selain itu, alat selam yang rosak juga boleh menyebabkan keracunan karbon dioksida atau kekurangan oksigen (hipoksia). Kedua-dua masalah ini boleh menyebabkan penyelam pengsan dan lemas.

* Dysbaric osteonecrosis

Penyakit ini mengakibatkan kerosakan sendi, patah tulang, tulang reput dan mati.

Biasanya, bahagian yang terlibat ialah tulang-tulang panjang seperti lengan dan paha.

Penyelam yang menyelam terlalu dalam dan lama atau pernah mengalami penyakit nyah tekanan (DCS), berkemungkinan boleh mendapat penyakit ini.

Bagaimanapun, penyakit ini jarang terjadi kepada penyelam yang menyelam mengikut spesifikasi had-had selaman rekreasi.

* Lemas

Seseorang yang keletihan dan mengalami sesak nafas ketika dikelilingi air yang dalam, boleh membahayakan nyawa.

Lebih-lebih lagi jika penyelam terbabit menghidap sakit jantung, lelah, hipertensi dan diabetes.

Lemas juga kerap terjadi sekiranya penyelam panik, cemas dan hilang haluan. Masalah ini boleh berlaku akibat masalah pada peralatan selam, kurang pengalaman, latihan, persekitaran yang gelap, hilang arah atau kombinasi situasi-situasi tersebut.

* Hidupan laut

Penyelam perlu tahu bahawa apabila mereka menyelam ke dasar laut, mereka adalah `pelawat' di tempat tinggal makhluk marin.

Mengganggu haiwan-haiwan ini sama ada dengan menyentuh atau menangkap mereka boleh mengakibatkan mereka bertindak balas. Terdapat beberapa jenis hidupan laut yang mampu mencederakan manusia melalui gigitan, biasa atau racun.

Ini merupakan mekanisme semula jadi haiwan tersebut untuk mempertahankan diri atau kawasan tempat tinggal mereka.

Beberapa jenis ikan, termasuk ikan pari, obor-obor, ikan depu, ular laut dan sebagainya mempunyai suntikan racun berbisa yang boleh menyebabkan maut.

Keracunan juga boleh berlaku jika seseorang makan ikan buntal atau kerang beracun.

Bagaimanapun, kecederaan akibat gigitan jerung yang sering ditakuti, tidak berlaku di negara ini. Ini kerana, jerung yang terdapat di perairan negara ini bukan dari jenis yang menyerang manusia.

EHSAN DARI UTUSAN MALAYSIA ONLINE.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan